Popular Posts

Saturday, September 3, 2011


Pergolakan di London : Ikhtibar kepada rakyat Malaysia

Perusuh yang bersikap pengecut lagi tidak bertamadun terhadap pelajar Malaysia di London, Muhamad Asyraf Haziq Rossli. Ini merupakan suatu tindakan biadab dan keterlaluan. Sanggupkah kita rakyat Malaysia untuk memperjudikan keamanan Negara seperti apa yang berlaku di London..? Tujuan asal rusuhan ini adalah untuk memprotes secara amantentang kematian Mark Duggan tetapi ini telah menjadi alasan untuk mereka pecah masuk dan mencuri barangan malah tindakan ini keterlaluan sehingga menyebabkan kematian.
Muhamad Asyraf Haziq Rossli merupakan seorang pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) jurusan Perakaunan sebuah kolej di London tercedera ringan dalam rusuhan tersebut.Beliau yang cedera di bahagian rahang kini mendapat rawatan di Royal London Hospital. Asyraf telah diserang oleh sekumpulan perusuh ketika keluar dari tren bawah tanah ketika dalam perjalanan menziarah rakannya untuk berbuka puasa di utara London.Beliau telah dipukul dan dirompak. Berikutan kes ini, Mara telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan pelajar di kawasan berisiko tinggi di kota itu ke sebuah penempatan di Leicester Square bagi menjamin keselamatan mereka.
Rusuhan jalanan yang berlaku di London ini telah dilakukan oleh kumpulan remaja yang kebanyakkannya menganggur. Masalah pengangguran yang tinggi ini boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada negara. Sebagai contoh, rusuhan jalanan. Oleh yang demikian, kita rakyat Malaysia harus berfikir jauh ke hadapan. Lebih molek kiranya masalah pengangguran dalam kalangan remaja mahupun mahasiswa lepasan universiti atau institusi pengajian tinggi perlu diatasi atau difikirkan cara penyelesaiannya. Hal ini bagi menggelakkan perkara ini berlaku di negara kita. Namun, pada pendapat saya, masalah rusuhan seperti ini boleh diatasi dari akar umbi sekiranya dalam diri setiap rakyat Malaysia mempunyai rasa cinta akan negara yang sangat mendalam. Saya yakin dan percaya, situasi yang boleh menggugat keamanan negara seperti yang berlaku di London baru-baru ini boleh dielakkan dengan adanya rasa cinta akan negara yang menebal malah sempena bulan kemerdekaan negara kita yang ke-54 ini, pelbagai usaha telah dijalankan untuk menyemai semangat patriotisma dalam diri rakyat Malaysia. Langkah bersepadu yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan ini berjaya meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia betapa pentingnya mengekalkan keamanan negara demi kestabilan ekonomi, politik mahupun sosial.
Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada golongan remaja, mahasiswa dan seluruh rakyat Malaysia agar mensyukuri nikmat kemerdekaan negara kita. Jangan sesekali kita menimbulkan masalah ataupun perkara yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada perpaduan dan keharmonian Malaysia. Kita rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama perlu bersatu padu dan bekerjasama dalam menghidupkan suasana aman dan harmoni yang telah sekian lama dirasai oleh rakyat Malaysia. Jangan kita memperjudikan nasib dan masa depan generasi akan datang.

Selamat menyambut hari kemerdekaan Malaysia, 31 Ogos 2011. Kibarkan Jalur Gemilang. 1Malaysia perpaduan dan keamanan bersama.

SHAFIDAH BINTI SAAD
SETIAUSAHA AGUNG
KUMPULAN RAKAN SISWA JASA MALAYSIA (KARISMA)

No comments:

Post a Comment