Popular Posts

Tuesday, December 28, 2010

Site sUrVeY fOr MMMR aNnuaL DinneR








Larangan PKR tidak wajar

TINDAKAN kerajaan PKR Selangor mengeluarkan arahan pengharaman penggunaan logo 1Malaysia di premis perniagaan di seluruh negeri itu mendapat reaksi yang pelbagai termasuk dari Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma).

Larangan yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor ini dikhaskan kepada iklan dan kain rentang itu telah mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan mahasiswa universiti tempatan.

Presiden Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma), Abu Na'im Bakri dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia berkata, pihaknya mewakili semua Kelab Karisma dari 22 universiti awam dan swasta seluruh Malaysia menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan tersebut. Hal ini kerana semangat 1Malaysia bukan sahaja telah memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa, malah masyarakat luar turut menyedari kepentingan semangat 1Malaysia.
Beliau melihat tindakan kerajaan negeri Selangor ini lebih bermotifkan politik. Demi kepentingan politik singkat pakatan pembangkang di Selangor, mereka sanggup memperjudikan nilai keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia hari ini dan generasi akan datang.

Walaupun menyedari gagasan 1Malaysia merupakan pendekatan terbaik yang dibawa oleh barisan kepimpinan negara dalam mewujudkan perpaduan rakyat pelbagai kaum, namun kerana perbezaan ideologi politik maka gagasan itu ditolak tanpa alasan yang munasabah.
"Gagasan itu diwujudkan bagi melahirkan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia. Kita sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya berusaha memahami dan menerapkan kefahaman ini ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat," katanya.

Gagasan 1Malaysia merupakan pendekatan perpaduan tanpa memihak kepada sesuatu kumpulan agama atau bangsa tertentu. Ia menerapkan konsep penerimaan dan juga kesaksamaan. Gagasan 1Malaysia merupakan ikon terbaik kerana mencerminkan nilai-nilai aspirasi yang menjadi platform kepada negara untuk mencapai wawasan negara maju.
Abu Na'im berpendapat, gagasan itu adalah baik kerana ia tidak membezakan apa juga fahaman politik, tidak membuat perbandingan antara kaum, keturunan serta agama.
Justeru, katanya, semestinya semua pihak perlu bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan gagasan 1Malaysia itu.

Menurutnya, nilai-nilai aspirasi yang terdapat dalam konsep 1Malaysia iaitu Budaya Berprestasi Tinggi, Budaya Inovasi, Budaya Ketepatan, Budaya Ilmu, Kebijaksanaan, Kesetiaan, Ketabahan dan Integriti telah berjaya menjadi model penyatuan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Timbulnya isu pengharaman logo 1Malaysia ini adalah berpunca daripada perasaan pihak pembangkang yang tidak suka akan perpaduan yang telah sekian lama menapak dalam sanubari rakyat negara kita.
"Pihak pembangkang juga gentar dengan konsep dan gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri. Justeru itu, pimpinan pembangkang mengambil tindakan untuk memutarbelitkan isu perpaduan ini," tambahnya.

Shafidah Saad
Setiausaha Agong KARISMA KEBANGSAAN

Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Suzuki Malaysia-indonesia


Kembalikan maruah bola sepak

Sekalung tahniah di atas kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan yang telah berjaya membenam skuad bola sepak dari negara jiran iaitu Indonesia dengan 3-0, jumlah jaringan yang disifatkan sebagai ‘garang’, pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Ahad 26 Disember lalu.
Secara tidak langsung, sebelah kaki telah membawa Malaysia sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010. Persoalan menang atau kalah di Gelora Bung Karno bagi saya sudah menjadi perkara kedua.
Apa yang dilihat lebih penting ialah semangat dan daya juang yang tinggi meyakinkan saya bahawa maruah bola sepak negara kembali gah. Ini ditambah pula dengan semangat 1Malaysia yang jelas terpancar dalam skuad bola sepak negara.
Apa tidaknya, selain daripada barisan pemain yang mempunyai kesefahaman dan keserasian yang jitu, di barisan pengurusan pula ternampak jelas apabila ledakan gol di gawang lawan, aksi spontan jurulatih K. Rajagobal, pembantu jurulatih dan Datuk Subahan Kamal berpelukan sambil melompat kegembiraan meraikan jaringan tersebut.
Aksi ini mengimbau kembali ingatan saya ketika era kegemilangan bola sepak negara sewaktu zaman Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R.Arumugam dan bintang-bintang lain yang beraksi cemerlang suatu masa dahulu.
Sekiranya semangat 1Malaysia ini boleh diaktifkan dalam sukan termasuklah di padang perlawanan bola sepak, mengapa tidak ia disemarakkan dalam diri dan jiwa rakyat Malaysia?
Kami di Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (KARISMA) berasa bangga dengan skuad kebangsaan. Malah kami melihat sendiri secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil persembahan hebat dan bertenaga oleh anak didik K. Rajagobal sepanjang 90 minit perlawanan dilangsungkan.
Jadikanlah skuad kebangsaan dan pihak pengurusannya sebagai ikon semangat 1Malaysia kerana ia menjadi kebanggaan segenap lapisan rakyat Malaysia.
Sekalung tahniah untuk Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, yang sanggup mencemar duli turun ke padang untuk memastikan tindakan tegas diambil berhubung gelagat segelintir penyokong yang menggunakan pancaran laser.
Gelagat ini tidak sepatutnya berlaku. Malah cara ini langsung tidak sihat dalam kita ingin meningkatkan mutu sukan bola sepak negara.
Dalam masa yang sama, kawalan emosi para pemain yang baik serta ketenangan jurulatih K.Rajagobal yang sentiasa tersenyum serta memberi isyarat positif dalam meyakinkan pengadil berhubung insiden itu, membuatkan pengadil utama dari Filipina yang bertugas memberi respon baik. Beberapa minit kemudian perlawanan diteruskan semula.
Syabas dan tahniah buat penyokong Malaysia yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam itu yang tidak mengenal erti penat lelah dalam memberikan sokongan kepada para pemain negara.
Inilah sikap yang perlu dicontohi oleh sekelian penyokong, malah rakyat Malaysia. Semangat 1Malaysia dengan salah satu daripada lapan nilai iaitu Budaya Berprestasi Tinggi perlu ada dalam diri setiap rakyat Malaysia keseluruhannya.
Apa yang lebih membanggakan lagi, jika dibandingkan K.Rajagobal dengan jurulatih Indonesia yang berasal dari Austria, Afred Riedl, dan jurulatih Vietnam, Henrique Callisto, yang merupakan anak kelahiran Portugal, membuktikan anak Malaysia mampu melakukan yang terbaik.
Jika Datuk Misbun Sidek menerima gelaran Datuk kerana kesungguhan beliau mendidik Datuk Lee Chong Wei, mengapa tidak pingat ini diberikan juga kepada K.Rajagobal, walaupun kejayaan Malaysia mungkin ada yang beranggapan masih sedikit.
Tetapi bagi kami generasi muda, khususnya warga KARISMA yang terdiri daripada 19 buah IPTA/IPTS seluruh Malaysia, melihat ia adalah permulaan yang sangat baik. Kegemilangan bola sepak negara menyebabkan rakyat Malaysia berbangga dengan apa yang Skuad Harimau telah tunjukkan.
Air mata kegembiraan yang jelas kelihatan di wajah para penyokong Malaysia pada malam itu membuktikan betapa besarnya kebanggaan mereka kepada skuad negara.
Sekalung doa menjadi iringan untuk skuad kebangsaan. Semoga perlawanan akhir kedua di Jakarta malam esok menjadi medan terbaik untuk Malaysia membuktikan kemampuannya. Malaysia Boleh!


MOHAMAD UZAIR MOHD. NOR RASHID
Naib Presiden Kebangsaan Kumpulan
Rakan Siswa Malaysia (Karisma)