Popular Posts

Saturday, December 24, 2011

TINDAKAN MENYARING PELAJAR ASING ADALAH WAJAR


Isu kebanjiran pelajar asing terutamanya warga Afrika di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada hari ini menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh media massa. Terbaru, cadangan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkaitan sistem tapisan bagi menyaring kemasukan pelajar asing ke Malaysia yang bakal diperkenalkan pada tahun hadapan adalah langkah yang baik serta wajar dilaksanakan. Hal ini kerana kemasukan pelajar asing ke negara ini sedikit sebanyak memberikan kesan negatif kepada imej Malaysia seperti peningkatan kadar janayah. Situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mahasiswa tempatan dan juga masyarakat sekeliling. Terdapat golongan warga Afrika ini menyalah gunakan visa pelajar dan pas lawatan sosial mereka.
            Cadangan pengenalan sistem tapisan untuk kemasukan pelajar asing ini merupakan tindakan yang bijak menerusi proses pengeluaran visa pelajar yang turut diperketatkan. Usaha ini merupakan kerjasama antara Jabatan Imegresen dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Diharapkan dengan tindakan mengetatkan proses pengeluaran visa ini dapat  mengurangkan kes penipuan oleh golongan tersebut seperti tinggal melebihi tempoh malah terdapat juga masalah sosial dan kegiatan jenayah yang melibatkan warga asing ini. Penggunaan visa pelajar selepas melalui proses penapisan yang lebih ketat ini membolehkan pemantauan dilaksanakan oleh agensi berkaitan. Menurut Tan Sri Mahmood juga, tindakan pembatalan visa akan dilakukan sekiranya mendapati terdapat penyalahgunaan visa oleh pelajar asing ini. Usaha ini seharusnya mendapat perhatian dan kerjasama semua pihak supaya dapat memastikan tiada kegiatan jenayah dan aktiviti tidak bermoral dilakukan di negara ini oleh pelajar asing. Pada pendapat saya, usaha ini sangat baik dan seterusnya dapat memastikan Malaysia terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu dan tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu.
Malah statistik jenayah oleh warga Afrika yang memegang pas pelajar sehingga Oktober 2011 pula menunjukkan bahawa jumlah tertinggi sebanyak 144 kes oleh bangsa Nigeria dengan jumlah keseluruhan statistik jenayah warga Afrika sebanyak 182 kes. Oleh itu, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan pelajar asing yang belajar di negara ini tidak menimbulkan masalah dan memberi ancaman keselamatan kepada masyarakat supaya suasana pembelajaran berlangsung secara harmoni.
Tambahan pula, terdapat pelajar asing yang berkelakuan tidak sopan di dalam kampus dan tindakan mereka ini adalah bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia. Saya selaku Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Canselor Universiti Putra Malaysia ingin memberikan pendapat bahawa pelajar asing yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia perlu mengetahui, mamahami dan menghormati adat dan budaya masyarakat Malaysia terutamanya masyarakat yang beragama Islam agar tidak melakukan perkara yang tidak sopan dan dilarang oleh agama di khalayak ramai. Sensitiviti dan kesedaran ini perlu ada dalam diri setiap pelajar asing ini dan mereka perlu menghormati sosiobadaya di Malaysia.
            Terbaru, kes berkaitan warga asing Afrika juga turut membuka mata masyarakat Malaysia. Seorang lelaki warga Afrika mampu membina sebuah banglo dan sebuah hotel yang bertaraf lima bintang bernilai RM400 juta di negaranya dengan hasil kegiatan penipuan yang dilakukan di Malaysia. Malah lelaki tersebut juga turut menjadi idola golongan muda dinegara kelahirannya. Penipuan yang dilakukan oleh warga Afrika di negara ini semakin serius kerana menyebabkan kerugian sebanyak RM29 juta bermula Januari hingga Oktober 2011. Penipuan-penipuan yang dilakukan ini boleh berlaku sekiranya rakyat Malaysia tidak peka dengan sesuatu pelawaan oleh mereka dan mudah menjadi mangsa penipuan tersebut. Penipuan  yang sering dilakukan oleh warga Afrika adalah seperti kiriman bungkusan (Parcel), Black Money, Vaksin ternakan, Iklan di laman web, jenayah siber dan juga wasiat.
Persoalannya di sini, sampai bilakah masalah ini akan berterusan?? Apakah jalan penyelesaian untuk membendung masalah ini agar ianya dapat di atasi? Dapat dilihat bahawa kemasukan warga asing yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini telah menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di dalam negara kita. Tidak kiralah dari negara mana datangnya warga asing ini, masalah yang sering diperkatakan ialah warga asing mendatangkan masalah malah terlibat dengan kes-kes jenayah. Masalah kebanjiran warga Afrika di negara ini mengundang pelbagai masalah jenayah selain desakan beberapa pihak agar kerajaan mengambil tindakan drastik untuk mengatasinya. Laporan akhbar sebelum ini menyebut sebahagian besar warga Afrika terbabit dalam jenayah komersial dan narkotik ditahan polis adalah pelajar kolej swasta sehingga mengundang keresahan penduduk setempat.

SHAFIDAH BINTI SAAD
BACELOR PENDIDIKAN SAINS PERTANIAN

PRESIDEN,
MAJLIS TERTINGGI MAHASISWA (MTM)
KOLEJ CANSELOR SESI 2011/2012
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA