Popular Posts

Saturday, September 3, 2011

BERSIH 2.0 LUMPUH!


BERSIH 2.0 LUMPUH!
Kata bidalan “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua”. Demikian gambaran paling sinonim dengan penganjuran Bersih 2.0. Di peringkat awal, penganjur Bersih 2.0 menyasarkan sebanyak 300,000 kehadiran penyokong, kemudian mereka mengembar-gemburkan bahawa lebih 500,000 penyokong sudah mengesahkan penyertaan pada 9 Julai 2011. Realitinya, angka tersebut ternyata meleset apabila jumlah yang menunjuk perasaan hanya sekitar 6,000 orang sahaja. Patutlah penganjur Bersih 2.0 tidak mahu berhimpun di Stadium Melawati, Shah Alam sebaliknya mereka beria-ia untuk berdemonstrasi di Stadium Merdeka kerana Stadium Merdeka kapasitinya 20,000, akan tetapi Stadium Melawati kapasitinya 80,000. Sebenarnya mereka sudah tidak yakin untuk mengumpul penyokong sebanyak yang dikhabarkan. Ini adalah bukti suara kemenangan rakyat Malaysia yang sudah muak dengan segala bentuk demonstrasi jalanan apatahlagi apabila ia berkepentingan individu. Strategi politik yang mengharapkan publisiti murahan dan simpati cibisan sudah tidak boleh diterimapakai.

Mereka tampil kehadapan dengan alasan kononnya sistem pilihanraya negara yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan bersih. Mereka juga menyifatkan SPR lebih cenderong ke arah parti Barisan Nasional (BN) yang menerajui negara. Pada Pilihan Raya Umum ke-11, tahun 2004,Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya menakluki negeri Kelantan dengan kelebihan satu kerusi DUN berbanding BN (PAS 24, BN 23), iaitu di DUN Kemuning. Majoriti undi yang dimenangi oleh PAS di DUN ini pula hanyalah sebanyak dua undi sahaja. Seandainya SPR tidak adil dan telus, sudah pasti dua majoriti undi yang diperoleh PAS akan dimanipulasi oleh BN. Namun hakikatnya perkara ini sama sekali tidak berlaku.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, tahun 2008, kita dapat menyaksikan BN kehilangan suara majoriti 2/3 di Dewan Rakyat apabila lima buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sebelum Perak kembali ke pangkuan BN dek kerana dua Ahli Yang Berhormat daripada Pakatan Rakyat bertindak ‘lompat parti’ menyertai BEBAS. Walaupun ia merupakan ‘tsunami politik’ kepada BN, akan tetapi BN tetapakur dengan keputusan rakyat yang diterjemahkan oleh ketelusan SPR.Sekaligus, menafikan tuntutan palsu yang menjadi asas perhimpunan haram Bersih 2.0.

“Sudah terang lagi bersuluh”, kehadiran puak pengacau ini ternyata menyusahkan rakyat. 550peniaga di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman terpaksa menutup kedai kerana bimbang akan keselamatan mereka dan premis, pemandu teksi tidak dapat memandu lantaran kesesakan jalan raya yang luar biasa, pengguna sistem Transit Aliran Ringan (LRT) terkandas di stesen akibat perkhidmatan pengangkutan ditutup sementara dan pelbagai hal lain lagi. Tidak terhenti di situ, golongan penunjuk perasaan ini juga merosakkan harta benda awam. Hasil dan titik akhirnya adalah kerugian jutaan ringgit yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan Negara.

Justeru, Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (KARISMA) mendesak kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap fahaman komunis yang cuba diketengahkan semula ke dalam Negara, dana asing yang disalurkan kepada pihak penganjur Bersih 2.0 untuk memperjudikan keamanan Negara, dan juga segala bentuk ancaman yang dirancang seperti senjata api, bahan-bahan letupan dan bahan-bahan lain. Tindakan tegas harus diambil ke atas mereka yang terlibat dalam penganjuran dan yang menyokong perhimpunan haram ini termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

KARISMA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada kerajaan Malaysia dan juga Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) di atas perlaksanaan pelan tindakan yang sistematik dalam melumpuhkan perhimpuanan haram Bersih 2.0 dan juga perhimpunan yang lain. Penahanan yang dilakukan juga membuktikan keadilan pihak berkuasa di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa timbul sikap pilih bulu dan berat sebelah. KARISMA mengharapkan perhimpunan seperti ini tidak lagi berulang di masa akan datang. Keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini harus kita pelihara sebaik mungkin.

Kepada semua mahasiswa di luar sana, janganlah kita terikut-ikut dengan segala lakonan dokmafalasi pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan sudah membantu kita sehabis baik dan sekarang ini sudah tiba giliran kita untuk berterima kasih kepada kerajaan. Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud “Barang siapa yang tidak berterima kasih sesama manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah”. “Demonstrasi bukan budaya kita”, “Aman Malaysia Aman”!



ABU NA’IM BIN BAKRI
PRESIDEN
KUMPULAN RAKAN SISWA MALAYSIA (KARISMA)
880717-06-5329

No comments:

Post a Comment